27 Mei, 2013

Kementerian Pendidikan Tekad Sedia Peluang Pendidikan Berkualiti Kepada Semua

KUALA LUMPUR, 28 Mei, (Bernama) -- Kementerian Pendidikan bertekad menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti kepada anak bangsa tanpa mengira kaum dan agama, sama ada di bandar atau luar bandar, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata dalam usaha mencapai status negara maju, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda pendidikan demi menjana modal insan masa depan.

Katanya, kerajaan melakukanpelbagai usaha bagi memberi pendidikan bermutu tinggi seperti penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara.

"Melalui inisiatif hasil inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam sektor pendidikan, sebanyak 38 SBP telah dinaik taraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun lepas, dan ini merupakan kejayaan besar bagi seluruh warga pendidik di SBP," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Hari Kecemerlangan SBP ke-40 di Pusat Konvensyen CIDB Isnin malam.

Idris berkata kerajaan juga menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta RM1 bilion bagi pembangunan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah yang menyaksikan sejumlah RM100 juta diperuntuk kepada SBP.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah SBP terbaik keseluruhan 2012 kepada Kolej Tunku Khursiah, Seremban yang turut merangkul anugerah sistem rumah terbilang SBP 2012 manakala Sekolah Menengah Seri Puteri di Cyberjaya, Selangor merangkul anugerah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik keseluruhan SBP 2012.

Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pula menggondol anugerah Penilaian Menengah Rendah (PMR) Terbaik Keseluruhan SBP 2012, Sekolah Datuk Abdul Razak di Seremban anugerah Kokurikulum terbilang SBP 2012 dan Sekolah Menengah Sains Miri di Sarawak menerima anugerah Asrama terbilang keseluruhan 2012.

--BERNAMA| 28Mei

Cadang hapus jaminan jawatan

IDRIS Jusoh (empat diri kiri) sambil diiringi oleh Lee Boon Hua (tiga dari kiri) meraikan penerima Anugerah Kecemerlangan IPG dalam Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin 
*****
PUTRAJAYA 27 Mei - Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu bertujuan bagi memastikan hanya yang terbaik ditawarkan ke jawatan berkenaan.
"Amalan pada masa ini membolehkan guru pelatih IPG dan IPTA dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka.
"Jaminan pelantikan ini akan digantikan secara berperingkat dan hanya guru pelatih yang memperolehi pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan sebagai guru," katanya ketika berucap dalam Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perguruan IPG di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Rektor IPG, Dr. Lee Boon Hua.
Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Idris berkata, langkah pengambilan guru itu perlu dijalankan untuk memastikan hanya mereka yang lulus dengan baik ditawarkan kerja sekali gus meningkatkan martabat guru.
"Kita mahu pilih yang terbaik selain menjadikan jawatan guru sebagai kerjaya pilihan, bukan kerana ikut suami atau sebagai pilihan terakhir.
"Pelajar-pelajar terbaik di Finland umpamanya bercita-cita mahu menjadi guru, keadaan ini menjadikan taraf pendidikan negara itu tinggi," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih perlu meneliti banyak perkara termasuk cara pelaksanaan sistem itu selain soal masa depan guru pelatih yang tidak ditawarkan jawatan.
Dalam pada itu, Idris berkata, Kementerian Pendidikan telah memulakan langkah untuk memastikan calon yang cemerlang memilih profesion perguruan sebagai kerjaya mereka.
"Dalam Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang perguruan sebagai kerjaya yang berprestij.
"Kerajaan akan melancar tawaran baharu yang menyeluruh kepada semua guru bagi menjadikan profesion perguruan lebih menarik dan meningkatkan profil dan profesionalisme kerjaya ini," katanya.

25 Mei, 2013

Idris Akan Saman PKR Berhubung Dakwaan Kurung 24 Petugas SPR Pada Hari Mengundi

BESUT, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh akan menyaman PKR termasuk pengarah strategi parti itu Mohd Rafizi Ramli yang menyebarkan kenyataan berhubung 24 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikurung bagi memangkah kertas undi di Parlimen Besut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Saya sedang meneliti tuduhan mereka bersama peguam bagi memastikan tuduhan yang boleh merosakkan imej saya selaku Anggota Parlimen Besut itu tidak dicemarkan secara sesuka hati.

"Bila dibuat satu kenyataan awam tanpa bukti yang boleh mencemarkan nama baik saya dan parti, sudah pasti saya akan bertindak untuk menyaman mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gong Nering, yang diadakan di Kampung Gong Guchil, Jerteh di sini Jumaat.

Idris berkata, beliau tidak mengetahui dari sumber mana mereka memperoleh berita tersebut yang disebarkan di laman sosial Facebook dan Blog Keadilan dan didedahkan setiausaha agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail yang dipetik dari Keadilan Daily.

"Dakwaan itu tidak berasas kerana mana boleh petugas SPR dikurung... Mereka perlu bertanggung- jawab atas setiap tuduhan yang dibuat," katanya.

Sementara itu ketika berucap di majlis berkenaan, Idris berkata Barisan Nasional (BN) perlu diberi peluang untuk melaksanakan janji yang dibuat melalui manifesto Pilihan Raya baru-baru ini dan berharap Pakatan Rakyat tidak terus merosakkan keamanan di negara ini hanya semata-mata untuk memenuhi cita-cita Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

"Mungkin pada PRU13 baru-baru ini BN kalah dari segi perang siber tetapi dalam menentukan pemerintah negara BN telah berjaya. Oleh itu sebarang keputusan patut dihormati semua pihak," katanya.

Pada PRU13 lalu, Idris menewaskan calon PAS Riduan Mohamad Nor dengan majoriti 8,342 undi.

-- BERNAMA| http://www.bernama.com.my/bernama/v7/bm/po/newspolitics.php?id=951892

Dato' Seri Idris di sana sini minggu ini

 24 Mei - Sebelah pagi bersama penduduk Kg. Gong Guchil (PDM Gong Nering Jertih) dalam majlis kesyukuran dan sempat 'membotakkan' kepala seorang penyokong BN yang bernazar.

25 Mei - Bukit Payung: Disambut oleh Pengerusi PDM Mukim Tenang, DUN Hulu Besut, sejurus tiba di majlis keyukuran. Terima kasih... kerana memberi sokongan kepada BN

25 Mei - Dataran Kuala Besut: Dato' Seri Idris santai minum petang bersama-sama penyokong dalam DUN Kuala Besut.

21 Mei, 2013

Penggabungan selesai sebulan

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pelajaran I, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan sejurus tiba di Kementerian Pelajaran bagi memulakan tugas sebagai Menteri Pelajaran di Putrajaya, semalam. - BERNAMA 
=====
PUTRAJAYA 21 Mei - Proses penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang digabungkan di bawah satu kementerian dan akan dikenali sebagai Kementerian Pendidikan dijangka selesai dalam tempoh sebulan lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses tersebut bertujuan meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan menamakan kementerian yang menggabungkan dua entiti itu sebagai Kementerian Pendidikan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat ini.
"Proses pencantuman kedua-dua kementerian ini bukan sesuatu yang sukar kerana Kementerian Pelajaran menumpukan kepada sekolah rendah dan menengah yang telah dilakukan sekian lama, manakala KPT pula berurusan dengan pendidikan tinggi yang sehingga kini telah dilaksanakan dengan baik dan cemerlang oleh kepimpinan terdahulu.
"Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ali Hamsa), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) (Datuk Mohamad Zabidi Zainal) dan kepimpinan tertinggi kedua-dua kementerian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pegawai dan kepimpinan tertinggi KPT di sini hari ini.
Mengenai penstrukturan jawatan ketua setiausaha dan ketua pengarah kedua-dua kementerian terbabit, Muhyiddin berakta, KPPA mempunyai beberapa cadangan yang akan dikemukakan minggu depan.
"Selepas itu, saya akan bincang dengan Perdana Menteri untuk kelulusan sebelum dilaksanakan," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau berharap penggabungan kedua-dua kementerian itu akan melicinkan usaha meningkatkan tahap pendidikan negara di masa depan.
Beliau menambah, harapan itu sejajar dengan langkah kedua-dua kementerian terlibat melancarkan pelan strategik masing-masing iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional.
"Kedua-dua pelan itu boleh terus kita laksanakan dalam beberapa tahap akan datang dan jika memerlukan penyelerasan, kita akan lakukan selagi tidak menjejaskan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan yang setanding dengan negara maju," katanya.
Beliau berkata, penggabungan kedua-dua kementerian dengan sumber yang lebih luas dari segi kepakaran dan kemahiran itu boleh dimanfaatkan bersama sambil memberi contoh, kepakaran tenaga pensyarah digunakan untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah.

Sebarkan fakta ekonomi sebenar


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
 Dato' Seri Idris Jusoh
*****
MALAYSIA kini berada di tangga ke-12 dalam senarai kemudahan urus niaga; nombor 25 dalam indeks kompetitif, di tempat kesembilan sebagai destinasi pelancongan utama; pelindung pelaburan keempat terbaik; dan nombor satu untuk kemudahan kredit.
Ini bukan sahaja meletakkan negara mengatasi negara maju seperti Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Sweden dan Itali malahan lebih baik daripada Thailand, China, Bahrain, Itali dan India.
Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus juga berjaya dilepasi pada kadar semasa 5.2 peratus, lebih baik daripada KDNK Singapura, AS mahupun Korea, di samping pengiktirafan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam ulung dunia.
Kadar pengangguran semasa pula cuma sekitar tiga peratus sahaja berbanding 9.7 peratus di AS, sementara pelaburan swasta meningkat 22 peratus dan Indeks komposit Bursa Malaysia pula mencecah 1,600 mata atas kepercayaan pelabur seluruh dunia.
Malaysia juga mempunyai hutang pada kadar 53.7 peratus berbanding KDNK tetapi jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan AS (73.6 peratus), Singapura (105.7 peratus) dan Jepun yang mencecah 219 peratus.
Defisit fiskal pula pada kadar 4.5 peratus sahaja, jauh lebih baik daripada India, Sepanyol, AS, UK dan Jepun, malahan kerajaan akan cuba merendahkan lagi kadar itu kepada tiga peratus kelak.
Walaupun masih banyak fitnah dan suara sumbang yang menuduh negara dalam keadaan begitu teruk kini, fakta-fakta tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negara kukuh dan berjaya hasil usaha pentadbiran bijaksana para pemimpin sejak 55 tahun negara merdeka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dalam mengemukakan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara lain menetapkan sokongan para perwakilan terhadap program transformasi inklusif yang dilaksanakan secara saksama untuk semua kaum.
Sokongan turut dinyatakan terhadap falsafah pembangunan negara dan Model Baharu Ekonomi (MBE); Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memberi kesan positif kepada ekonomi bumiputera; serta sokongan padu untuk pelbagai program rakyat di bawah jenama 1Malaysia.
Usul itu turut menyeru pengukuhan agenda bumiputera melalui pusat sehenti di peringkat nasional dan wilayah untuk syarikat bumiputera serta menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sahaja.
Tidak dilupakan, pendapatan tinggi dan peluang kerja untuk golongan muda dalam sektor awam mahupun swasta di samping memperkasakan skim pembiayaan mikro yang terbukti banyak membantu usahawan bumiputera.
Idris yang juga Pengerusi Mara menegaskan, Malaysia kini telah menjadi satu 'jenama' dan dunia memperakui ekonomi negara ditadbir dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) selama ini.
"Kita telah mencipta nama tersendiri. Kerana negara ditadbir dengan baik, rakyat juga kini hidup sejahtera khususnya melihat kepada kemampuan rakyat berbelanja.
"Sekitar RM1 bilion dibelanjakan rakyat setiap tahun dalam mengerjakan umrah, anak-anak mampu dihantar belajar di luar negara, boleh beli kereta, bina rumah dan menjalankan ibadah korban sehinggakan boleh dihantar kepada penduduk Islam di negara lain," katanya.
Selain bantuan rakyat dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan dan banyak lagi, beliau menjelaskan Perdana Menteri turut melancarkan Indeks Kesejahteraan baru-baru ini yang merangkumi aspek kehidupan seperti nilai-nilai murni, alam sekitar, perpaduan, tangani kemiskinan dan sebagainya.
Walaupun dunia telah mengakui kecekapan pentadbiran kerajaan, beliau berharap rakyat sendiri menyedari fakta tersebut melihat angka dan fakta sebenar kerana angka-angka tersebut tidak boleh menipu.
"Perbandingan melalui angka-angka itu jelas menunjukkan prestasi pentadbiran ekonomi negara, jadi tak guna terus menjaja kononnya negara kita teruk sangat.
"Kadar pertumbuhan, pengangguran, KDNK, semua tunjuk perkara sama, kita dalam keadaan baik dan mungkin lebih baik daripada sesetengah negara-negara utama lain," ujarnya.
Tambahnya, pegangan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga telah bertambah hasil pelbagai program oleh Teraju dan agensi kerajaan yang lain.
Namun, beliau mengingatkan rakyat agar memahami sebarang bentuk perancangan dan program akan mengambil masa untuk menampakkan hasil.
"Projek-projek besar yang digerakkan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda ekonomi bumiputera tidak boleh dipertikai lagi, tetapi semua itu memakan masa untuk menunjukkan hasil yang diharapkan.
"Bagaimanapun, agenda bumiputera juga tidak boleh berjalan tanpa pembangunan dalam ekonomi negara, kedua-duanya perlu selari dan kerana itu kita bukan sekadar menekankan ekonomi bumiputera sahaja," tegasnya.
Walaupun kerajaan menyatakan komitmen untuk terus membantu ekonomi bumiputera, Idris berharap usahawan bumiputera sendiri mempunyai komitmen untuk berjaya atau semuanya akan sia-sia.
Berkaitan peranan GLC, beliau berpendapat warga korporat tidak boleh disalahkan kerana dilihat kurang bersungguh-sungguh membantu agenda ekonomi bumiputera.
"Mungkin mereka tidak begitu nampak perkara itu sebagai fokus utama, tidak boleh salahkan mereka. Kita akan berjumpa dan cakap dengan mereka agar agenda ini boleh dijadikan antara objektif utama GLC kelak.
"Kerana itu saya sebut perkara ini dalam usul tadi (semalam) untuk lebihkan peranan GLC. Jika ekonomi bumiputera menjadi antara objektif utama, ditambah dengan program CSR lagi, semua akan lebih baik," jelasnya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bumiputera mampu menjadi usahawan berjaya selagi ikhlas sepenuhnya menjadi usahawan tulen, berdisiplin, bersatu hati dan mengurangkan sikap-sikap negatif.
"Halangan itu di mana-mana pun ada. Janganlah mahu kerja senang sahaja, makan bahagian kecil dalam projek tetapi tidak mahu kerjakan projek itu sendiri, perlu ikhlas dan kerja kuat.
"Sudah jelas ramai usahawan bumiputera yang berjaya kerana mereka ini ada disiplin, kompetitif dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata," katanya.
Beliau turut menyelar pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia tidak inklusif melihatkan begitu ramai 'taikun-taikun' bukan bumiputera yang mengungguli senarai individu terkaya negara.
"Kalau kita tidak inklusif, tak mungkin begitu ramai bilionair bukan bumiputera. Bila menyebut agenda ekonomi bumiputera, mungkin ada sikit-sikit isu perkauman dimainkan tetapi bukan bumiputera yang dinamik pasti bersedia berurus niaga dengan usahawan bumiputera.
"Mungkin kerana rakyat tidak diberikan makluman secukupnya sehinggakan ramai lagi yang mempercayai tuduhan dan penipuan kononnya pentadbiran ekonomi negara begitu teruk selama ini," ujarnya.
Idris turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan dalam menunjukkan fakta sebenar kepada rakyat terutamanya dalam menyampaikan bukti ekonomi negara telah lama ditadbir dengan baik pemimpin BN.
"Kita kena tunjuk perkembangan jangka panjang, selain kejayaan, tunjukkan krisis pada 1970-an, 80-an, 90-an, 2000 dan krisis ekonomi terbaru semuanya melibatkan faktor luaran sedangkan ekonomi dalam negara tetap kukuh.
"Asasnya balik kepada pembangunan ekonomi, jika ada pertumbuhan, ada kerja dan ada duit. Dengan pembangunan lebih lima peratus setahun itulah kerajaan boleh gerakkan bermacam program untuk kesejahteraan rakyat dan kini semua itu telah diperakui dunia," jelasnya.

20 Mei, 2013

Hari Pertama di Kementerian Pelajaran

21 Mei 2013(Selasa) Dato' Seri Idris Jusoh pada hari pertama di Kementerian Pelajaran, Putrajaya.

Bersama pelajar tajaan MARA di Wellington, New Zealand

Pada 30 April 2012 yang lepas, bersempena dengan kedatangan Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke New Zealand, satu perjumpaan telah diadakan antara pelajar tajaan MARA di Wellington, pegawai MARA, dan wakil dari High Commission of Malaysia (HICOM). Program ini bertempat di salah salah sebuah bilik kuliah di Victoria University of Wellington dan dihadiri oleh semua pelajar tajaan MARA. Program yang bermula pada pukul 5.30 petang ini menjadi medium bagi mengumpulkan rakyat Malaysia di Wellington, NZ.

Antara pelajar tajaan MARA.
*****
Salah satu objektif perjumpaan ini adalah untuk membincangkan perkembangan aktif pelajar MARA di Wellington, dan juga menyelesaikan beberapa isu dan masalah yang dihadapi pelajar sepanjang pengajian mereka di bumi New Zealand ini termasuklah masalah kontrak dan kewangan. Hal ini menunjukkan keprihatinan penganjur terhadap kebajikan pelajar di luar negara.


Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh sedang meyampaikan ucapan.
*****
Selain itu, perjumpaan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati dan lebih mengenali peneraju MARA iaitu Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh secara bersemuka. Peluang yang diberikan ini digunakan sebaik mungkin oleh para pelajar untuk mendengar perkongsian pengalaman dan pahit manis kehidupan yang ditempuhi beliau sepanjang perkhidmatan beliau bersama kerajaan Malaysia.


Ucapan beliau diakhiri dengan laungan “1 Malaysia” oleh semua hadirin.
 *****
Dengan kehadiran beliau ke Wellington secara tidak langsung meningkatkan semangat para pelajar untuk terus berjuang menimba ilmu seluas langit di bumi Wellington ini sebelum pulang berkhidmat kepada negara tercinta. Beliau tanpa jemu melontarkan nasihat yang membina kerana beliau percaya bahawa pelajar-pelajar inilah yg bakal melayarkan bahtera kepimpinan kerajaan Malaysia pada masa akan datang.

Y.B. Dato’ Seri Haji Idris Bin Jusoh bersama wakil HICOM dan presiden WMSO dan UMNO.
 *****
Oleh itu, buat pelajar Malaysia di serata dunia, ayuhlah kita teruskan misi menimba ilmu dan mencari pengalaman yang berharga di tempat orang ini agar nanti kita mampu menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.

Disediakan oleh,
Nurul Ain Liyana binti kamalruzzaman
Ahli Jawatan Kuasa Exco Pendidikan

http://umnowellington.blogspot.com/2012/05/program-beramah-mesra-bersama-yb-dato.html | hwa 21/5/13

19 Mei, 2013

Terima kasih

Terima Kasih kerana memberi sokongan kepada semua calon-calon BN di Besut. Besut... Bumi Ulul Albab.