Oleh NURUL
ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
Dato' Seri Idris Jusoh
*****
MALAYSIA kini berada di tangga ke-12 dalam senarai
kemudahan urus niaga; nombor 25 dalam indeks kompetitif, di tempat kesembilan
sebagai destinasi pelancongan utama; pelindung pelaburan keempat terbaik; dan
nombor satu untuk kemudahan kredit.
Ini bukan
sahaja meletakkan negara mengatasi negara maju seperti Jepun, Jerman, United
Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Sweden dan Itali malahan lebih baik
daripada Thailand, China, Bahrain, Itali dan India.
Sasaran
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus juga berjaya
dilepasi pada kadar semasa 5.2 peratus, lebih baik daripada KDNK Singapura, AS
mahupun Korea, di samping pengiktirafan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam
ulung dunia.
Kadar
pengangguran semasa pula cuma sekitar tiga peratus sahaja berbanding 9.7
peratus di AS, sementara pelaburan swasta meningkat 22 peratus dan Indeks
komposit Bursa Malaysia pula mencecah 1,600 mata atas kepercayaan pelabur
seluruh dunia.
Malaysia juga
mempunyai hutang pada kadar 53.7 peratus berbanding KDNK tetapi jumlah itu jauh
lebih kecil jika dibandingkan dengan AS (73.6 peratus), Singapura (105.7
peratus) dan Jepun yang mencecah 219 peratus.
Defisit fiskal
pula pada kadar 4.5 peratus sahaja, jauh lebih baik daripada India, Sepanyol,
AS, UK dan Jepun, malahan kerajaan akan cuba merendahkan lagi kadar itu kepada
tiga peratus kelak.
Walaupun masih
banyak fitnah dan suara sumbang yang menuduh negara dalam keadaan begitu teruk
kini, fakta-fakta tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negara kukuh dan
berjaya hasil usaha pentadbiran bijaksana para pemimpin sejak 55 tahun negara
merdeka.
Ahli Majlis
Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dalam mengemukakan usul ekonomi pada
Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara lain menetapkan sokongan para perwakilan
terhadap program transformasi inklusif yang dilaksanakan secara saksama untuk
semua kaum.
Sokongan turut
dinyatakan terhadap falsafah pembangunan negara dan Model Baharu Ekonomi (MBE);
Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera
(Teraju) yang memberi kesan positif kepada ekonomi bumiputera; serta sokongan
padu untuk pelbagai program rakyat di bawah jenama 1Malaysia.
Usul itu turut
menyeru pengukuhan agenda bumiputera melalui pusat sehenti di peringkat
nasional dan wilayah untuk syarikat bumiputera serta menggesa syarikat milik
kerajaan (GLC) melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dengan
bersungguh-sungguh, bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR)
sahaja.
Tidak
dilupakan, pendapatan tinggi dan peluang kerja untuk golongan muda dalam sektor
awam mahupun swasta di samping memperkasakan skim pembiayaan mikro yang
terbukti banyak membantu usahawan bumiputera.
Idris yang juga
Pengerusi Mara menegaskan, Malaysia kini telah menjadi satu 'jenama' dan dunia
memperakui ekonomi negara ditadbir dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Barisan
Nasional (BN) selama ini.
"Kita
telah mencipta nama tersendiri. Kerana negara ditadbir dengan baik, rakyat juga
kini hidup sejahtera khususnya melihat kepada kemampuan rakyat berbelanja.
"Sekitar
RM1 bilion dibelanjakan rakyat setiap tahun dalam mengerjakan umrah, anak-anak
mampu dihantar belajar di luar negara, boleh beli kereta, bina rumah dan
menjalankan ibadah korban sehinggakan boleh dihantar kepada penduduk Islam di
negara lain," katanya.
Selain bantuan
rakyat dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan dan banyak lagi, beliau
menjelaskan Perdana Menteri turut melancarkan Indeks Kesejahteraan baru-baru
ini yang merangkumi aspek kehidupan seperti nilai-nilai murni, alam sekitar,
perpaduan, tangani kemiskinan dan sebagainya.
Walaupun dunia
telah mengakui kecekapan pentadbiran kerajaan, beliau berharap rakyat sendiri
menyedari fakta tersebut melihat angka dan fakta sebenar kerana angka-angka
tersebut tidak boleh menipu.
"Perbandingan
melalui angka-angka itu jelas menunjukkan prestasi pentadbiran ekonomi negara,
jadi tak guna terus menjaja kononnya negara kita teruk sangat.
"Kadar
pertumbuhan, pengangguran, KDNK, semua tunjuk perkara sama, kita dalam keadaan
baik dan mungkin lebih baik daripada sesetengah negara-negara utama lain,"
ujarnya.
Tambahnya,
pegangan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga telah bertambah hasil
pelbagai program oleh Teraju dan agensi kerajaan yang lain.
Namun, beliau
mengingatkan rakyat agar memahami sebarang bentuk perancangan dan program akan
mengambil masa untuk menampakkan hasil.
"Projek-projek
besar yang digerakkan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda ekonomi
bumiputera tidak boleh dipertikai lagi, tetapi semua itu memakan masa untuk
menunjukkan hasil yang diharapkan.
"Bagaimanapun,
agenda bumiputera juga tidak boleh berjalan tanpa pembangunan dalam ekonomi
negara, kedua-duanya perlu selari dan kerana itu kita bukan sekadar menekankan
ekonomi bumiputera sahaja," tegasnya.
Walaupun
kerajaan menyatakan komitmen untuk terus membantu ekonomi bumiputera, Idris
berharap usahawan bumiputera sendiri mempunyai komitmen untuk berjaya atau
semuanya akan sia-sia.
Berkaitan
peranan GLC, beliau berpendapat warga korporat tidak boleh disalahkan kerana
dilihat kurang bersungguh-sungguh membantu agenda ekonomi bumiputera.
"Mungkin
mereka tidak begitu nampak perkara itu sebagai fokus utama, tidak boleh
salahkan mereka. Kita akan berjumpa dan cakap dengan mereka agar agenda ini
boleh dijadikan antara objektif utama GLC kelak.
"Kerana
itu saya sebut perkara ini dalam usul tadi (semalam) untuk lebihkan peranan
GLC. Jika ekonomi bumiputera menjadi antara objektif utama, ditambah dengan
program CSR lagi, semua akan lebih baik," jelasnya.
Beliau juga
menyatakan keyakinan bumiputera mampu menjadi usahawan berjaya selagi ikhlas
sepenuhnya menjadi usahawan tulen, berdisiplin, bersatu hati dan mengurangkan
sikap-sikap negatif.
"Halangan
itu di mana-mana pun ada. Janganlah mahu kerja senang sahaja, makan bahagian
kecil dalam projek tetapi tidak mahu kerjakan projek itu sendiri, perlu ikhlas
dan kerja kuat.
"Sudah
jelas ramai usahawan bumiputera yang berjaya kerana mereka ini ada disiplin,
kompetitif dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata," katanya.
Beliau turut
menyelar pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia tidak inklusif melihatkan
begitu ramai 'taikun-taikun' bukan bumiputera yang mengungguli senarai individu
terkaya negara.
"Kalau
kita tidak inklusif, tak mungkin begitu ramai bilionair bukan bumiputera. Bila
menyebut agenda ekonomi bumiputera, mungkin ada sikit-sikit isu perkauman
dimainkan tetapi bukan bumiputera yang dinamik pasti bersedia berurus niaga
dengan usahawan bumiputera.
"Mungkin
kerana rakyat tidak diberikan makluman secukupnya sehinggakan ramai lagi yang
mempercayai tuduhan dan penipuan kononnya pentadbiran ekonomi negara begitu
teruk selama ini," ujarnya.
Idris turut
mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan dalam menunjukkan fakta sebenar
kepada rakyat terutamanya dalam menyampaikan bukti ekonomi negara telah lama
ditadbir dengan baik pemimpin BN.
"Kita kena
tunjuk perkembangan jangka panjang, selain kejayaan, tunjukkan krisis pada
1970-an, 80-an, 90-an, 2000 dan krisis ekonomi terbaru semuanya melibatkan
faktor luaran sedangkan ekonomi dalam negara tetap kukuh.
"Asasnya
balik kepada pembangunan ekonomi, jika ada pertumbuhan, ada kerja dan ada duit.
Dengan pembangunan lebih lima peratus setahun itulah kerajaan boleh gerakkan
bermacam program untuk kesejahteraan rakyat dan kini semua itu telah diperakui
dunia," jelasnya.