02 Julai, 2013

Kementerian Pendidikan garis langkah keselamatan untuk pelajar di Mesir

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Mesir dinasihat menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan membantah kepimpinan negara Timur Tengah itu di Kaherah, Iskandariah, Mansoura, Zaqaziq dan tempat lain.

Dalam satu kenyataan, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh turut meminta mereka agar tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan atau petisyen anjuran masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup, dalam atau luar kampus universiti.

Selain itu, pelajar Malaysia digesa tidak mempercayai atau menyebar khabar angin melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau laman sosial seperti Facebook, Twitter serta blog dan e-mel.

Kenyataan itu juga menyebut demonstrasi dan perhimpunan yang berlaku telah mengakibatkan 16 orang terbunuh dan 781 cedera dalam kalangan warga Mesir.

"Education Malaysia Egypt (EME) memperakui tiada kes melibatkan pelajar Malaysia dan ibu bapa tidak perlu risau kerana keadaan terkawal," kata Idris.

Idris berkata langkah keselamatan diambil dengan membuka bilik gerakan 24 jam di semua peringkat dan wilayah, di kedutaan Malaysia di Kaherah, Dewan Malaysia Abbasiah, rumah-rumah negeri dan persatuan pelajar.

Selain itu, operasi pemantauan turut digerakkan di semua terminal lapangan terbang manakala siri kunjungan pegawai ke premis kediaman pelajar turut dilakukan, begitu juga hebahan melalui media elektronik, 'Whatsapp' dan SMS.

Beliau juga menggesa pelajar berkenaan agar mengelak daripada memberi sebarang komen atau ulasan berkaitan politik dalaman Mesir kepada mana-mana individu, organisasi Mesir dan asing, serta menangguhkan aktiviti dan pergerakan ke luar kawasan untuk percutian.

"Elakkan dari berjalan-jalan pada waktu malam atau berjalan secara berseorangan, terutama bagi mahasiswi," katanya.

Idris berkata pelajar Malaysia di Mesir perlu mematuhi sebarang arahan keselamatan, termasuk perintah berkurung, sekiranya dikeluarkan kerajaan Mesir dan arahan lain oleh pihak kedutaan.

"Pelajar harus mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan dan barang berharga di tempat selamat," katanya. - Bernama.

http://www.hmetro.com.my/articles/KementerianPendidikangarislangkahkeselamatanuntukpelajardiMesir/Article?mutakhir | ai3JUL

Tiada ulasan: