SERI KEMBANGAN 18 Jun - Kementerian Pendidikan bercadang
memperkenalkan cuti sabatikal untuk pengetua, guru besar dan guru
mengikuti program pembelajaran di luar negara, kata Menteri Pendidikan
Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata, cuti sabatikal untuk mengikuti program pembelajaran
luar negara yang kini hanya dinikmati pensyarah di institusi pengajian
tinggi amat penting dalam usaha kerajaan meletakkan sistem pendidikan
negara setanding dengan negara di seluruh dunia.
"Kita sering berkata mahu meletakkan sistem pendidikan Malaysia
sebaris dengan negara luar tetapi bagaimana kita nak merealisasikannya
kalau pengetua, guru besar dan guru kita tidak dapat banyak pendedahan
tentang sistem pendidikan di luar negara.
"Dengan cara ini kita harap lebih ramai pengetua, guru besar dan guru
mempelajari sistem pendidikan di negara seperti United Kingdom dan
Finland bagi membuka minda mereka tentang cara terbaik melahirkan anak
bangsa yang mampu meneruskan kecemerlangan Malaysia pada masa depan,"
katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan
Anugerah Tawaran Baharu Kepada Pengetua Tahun 2012 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan
Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pendidikan,
Datuk Misrah Ibrahim.
Seramai 151 pengetua sekolah menerima sijil dan wang tunai RM7,500
pada anugerah yang diberi kepada pengetua sekolah cemerlang berdasarkan
Gred Purata Sekolah dan skor Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
sekolah mereka.
Idris berkata, cadangan itu masih dalam perbincangan serta kajian di
peringkat kementerian dan apabila selesai, ia akan dibentang kepada
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri
Pendidikan.
"Banyak perkara kita perlu bincangkan dan kita teliti seperti tempoh
masa cuti itu dua ke tiga bulan, sabatikal ini boleh diambil setiap lima
tahun sekali dan negara-negara yang terbaik untuk kita hantar guru
kita.
"Kita akan buka peluang untuk semua jenis guru, peringkat menengah,
rendah mahupun bidang teknikal. Kementerian akan pilih siapa yang layak
menerusi kriteria yang akan kami tetapkan nanti," katanya.
Mengulas mengenai Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2015, Idris berkata,
pengetua dan guru besar perlu menjadi ejen perubahan bagi
merealisasikan fasa pertama pelan itu yang bermatlamat merubah sistem
pendidikan negara untuk menghasilkan generasi muda berdaya maju.
Ditanya tentang keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini, beliau
berkata sekolah dalam kawasan yang mempunyai Indeks Pencemaran Udara
(IPU) melebihi 300 akan diarah tutup serta merta bagi mengelakkan
masalah kesihatan di kalangan pelajar.
"Saya nasihatkan pelajar supaya memakai topeng penapis udara, minum
air dengan banyak dan kurangkan aktiviti luar jika IPU di kawasan anda
teruk.
"Kementerian akan memantau rapi perkembangan jerebu ini bagi
memastikan kesihatan pelajar kita tidak terjejas," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan