27 Jun, 2013

Mampu pertahan Kuala Besut

| Oleh Norfatimah Ahmad, Mohd Azrone Sarabatin, S Anand Kumar dan Lum Chee Hong 
 
Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil selepas penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia, kelmarin.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata DUN Kuala Besut adalah kubu kuat BN dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Allahyarham mendapat majoriti 2,434 undi.
Kita yakin dapat mempertahankan DUN Kuala Besut, bagaimanapun di peringkat Bahagian UMNO Besut akan membuat persiapan rapi dari segi jentera pilihan raya. Kita juga akan mengadakan mesyuarat minggu ini yang dihadiri wakil Pusat.

Rumah saya di kawasan DUN Kuala Besut dan cukup kenal rakyat dan kawasan ini, katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah, akibat paru-paru berair.

Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, jentera pilihan raya BN peringkat negeri dan pusat akan bekerja keras bagi mempertahankan DUN Kuala Besut.
 
Yakin pilihan rakyat
Biarkan pembangkang mahu cakap apa saja, yang penting rakyat tahu jasa BN dan saya cukup mengenali rakyat DUN Kuala Besut, katanya.

Di Putrajaya, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, walaupun BN menang selesa pada PRU-13 tetapi menjangkakan persaingan lebih sengit daripada pembangkang.

Kita yakin BN dapat menang berkat sokongan diperoleh sebelum ini tetapi kita tidak mahu ambil mudah cabaran kali ini, katanya.

Ahmad berkata, pelantikan Idris selaku Menteri Pendidikan memberi kelebihan kepada BN pada pilihan raya ini.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi pilihan raya kecil, beliau berkata, jentera kempen dapat digerakkan dengan lebih mudah kerana persediaan ketika PRU-13 masih segar di ingatan dan jentera parti peringkat pusat juga akan turun membantu. 
 
http://o.bharian.com.my/bharian/articles/MampupertahanKualaBesut/Article | AI28JUN

Tiada ulasan: