21 Mei, 2013

Sebarkan fakta ekonomi sebenar


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
 Dato' Seri Idris Jusoh
*****
MALAYSIA kini berada di tangga ke-12 dalam senarai kemudahan urus niaga; nombor 25 dalam indeks kompetitif, di tempat kesembilan sebagai destinasi pelancongan utama; pelindung pelaburan keempat terbaik; dan nombor satu untuk kemudahan kredit.
Ini bukan sahaja meletakkan negara mengatasi negara maju seperti Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Sweden dan Itali malahan lebih baik daripada Thailand, China, Bahrain, Itali dan India.
Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus juga berjaya dilepasi pada kadar semasa 5.2 peratus, lebih baik daripada KDNK Singapura, AS mahupun Korea, di samping pengiktirafan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam ulung dunia.
Kadar pengangguran semasa pula cuma sekitar tiga peratus sahaja berbanding 9.7 peratus di AS, sementara pelaburan swasta meningkat 22 peratus dan Indeks komposit Bursa Malaysia pula mencecah 1,600 mata atas kepercayaan pelabur seluruh dunia.
Malaysia juga mempunyai hutang pada kadar 53.7 peratus berbanding KDNK tetapi jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan AS (73.6 peratus), Singapura (105.7 peratus) dan Jepun yang mencecah 219 peratus.
Defisit fiskal pula pada kadar 4.5 peratus sahaja, jauh lebih baik daripada India, Sepanyol, AS, UK dan Jepun, malahan kerajaan akan cuba merendahkan lagi kadar itu kepada tiga peratus kelak.
Walaupun masih banyak fitnah dan suara sumbang yang menuduh negara dalam keadaan begitu teruk kini, fakta-fakta tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negara kukuh dan berjaya hasil usaha pentadbiran bijaksana para pemimpin sejak 55 tahun negara merdeka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dalam mengemukakan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara lain menetapkan sokongan para perwakilan terhadap program transformasi inklusif yang dilaksanakan secara saksama untuk semua kaum.
Sokongan turut dinyatakan terhadap falsafah pembangunan negara dan Model Baharu Ekonomi (MBE); Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memberi kesan positif kepada ekonomi bumiputera; serta sokongan padu untuk pelbagai program rakyat di bawah jenama 1Malaysia.
Usul itu turut menyeru pengukuhan agenda bumiputera melalui pusat sehenti di peringkat nasional dan wilayah untuk syarikat bumiputera serta menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sahaja.
Tidak dilupakan, pendapatan tinggi dan peluang kerja untuk golongan muda dalam sektor awam mahupun swasta di samping memperkasakan skim pembiayaan mikro yang terbukti banyak membantu usahawan bumiputera.
Idris yang juga Pengerusi Mara menegaskan, Malaysia kini telah menjadi satu 'jenama' dan dunia memperakui ekonomi negara ditadbir dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) selama ini.
"Kita telah mencipta nama tersendiri. Kerana negara ditadbir dengan baik, rakyat juga kini hidup sejahtera khususnya melihat kepada kemampuan rakyat berbelanja.
"Sekitar RM1 bilion dibelanjakan rakyat setiap tahun dalam mengerjakan umrah, anak-anak mampu dihantar belajar di luar negara, boleh beli kereta, bina rumah dan menjalankan ibadah korban sehinggakan boleh dihantar kepada penduduk Islam di negara lain," katanya.
Selain bantuan rakyat dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan dan banyak lagi, beliau menjelaskan Perdana Menteri turut melancarkan Indeks Kesejahteraan baru-baru ini yang merangkumi aspek kehidupan seperti nilai-nilai murni, alam sekitar, perpaduan, tangani kemiskinan dan sebagainya.
Walaupun dunia telah mengakui kecekapan pentadbiran kerajaan, beliau berharap rakyat sendiri menyedari fakta tersebut melihat angka dan fakta sebenar kerana angka-angka tersebut tidak boleh menipu.
"Perbandingan melalui angka-angka itu jelas menunjukkan prestasi pentadbiran ekonomi negara, jadi tak guna terus menjaja kononnya negara kita teruk sangat.
"Kadar pertumbuhan, pengangguran, KDNK, semua tunjuk perkara sama, kita dalam keadaan baik dan mungkin lebih baik daripada sesetengah negara-negara utama lain," ujarnya.
Tambahnya, pegangan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga telah bertambah hasil pelbagai program oleh Teraju dan agensi kerajaan yang lain.
Namun, beliau mengingatkan rakyat agar memahami sebarang bentuk perancangan dan program akan mengambil masa untuk menampakkan hasil.
"Projek-projek besar yang digerakkan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda ekonomi bumiputera tidak boleh dipertikai lagi, tetapi semua itu memakan masa untuk menunjukkan hasil yang diharapkan.
"Bagaimanapun, agenda bumiputera juga tidak boleh berjalan tanpa pembangunan dalam ekonomi negara, kedua-duanya perlu selari dan kerana itu kita bukan sekadar menekankan ekonomi bumiputera sahaja," tegasnya.
Walaupun kerajaan menyatakan komitmen untuk terus membantu ekonomi bumiputera, Idris berharap usahawan bumiputera sendiri mempunyai komitmen untuk berjaya atau semuanya akan sia-sia.
Berkaitan peranan GLC, beliau berpendapat warga korporat tidak boleh disalahkan kerana dilihat kurang bersungguh-sungguh membantu agenda ekonomi bumiputera.
"Mungkin mereka tidak begitu nampak perkara itu sebagai fokus utama, tidak boleh salahkan mereka. Kita akan berjumpa dan cakap dengan mereka agar agenda ini boleh dijadikan antara objektif utama GLC kelak.
"Kerana itu saya sebut perkara ini dalam usul tadi (semalam) untuk lebihkan peranan GLC. Jika ekonomi bumiputera menjadi antara objektif utama, ditambah dengan program CSR lagi, semua akan lebih baik," jelasnya.
Beliau juga menyatakan keyakinan bumiputera mampu menjadi usahawan berjaya selagi ikhlas sepenuhnya menjadi usahawan tulen, berdisiplin, bersatu hati dan mengurangkan sikap-sikap negatif.
"Halangan itu di mana-mana pun ada. Janganlah mahu kerja senang sahaja, makan bahagian kecil dalam projek tetapi tidak mahu kerjakan projek itu sendiri, perlu ikhlas dan kerja kuat.
"Sudah jelas ramai usahawan bumiputera yang berjaya kerana mereka ini ada disiplin, kompetitif dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata," katanya.
Beliau turut menyelar pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia tidak inklusif melihatkan begitu ramai 'taikun-taikun' bukan bumiputera yang mengungguli senarai individu terkaya negara.
"Kalau kita tidak inklusif, tak mungkin begitu ramai bilionair bukan bumiputera. Bila menyebut agenda ekonomi bumiputera, mungkin ada sikit-sikit isu perkauman dimainkan tetapi bukan bumiputera yang dinamik pasti bersedia berurus niaga dengan usahawan bumiputera.
"Mungkin kerana rakyat tidak diberikan makluman secukupnya sehinggakan ramai lagi yang mempercayai tuduhan dan penipuan kononnya pentadbiran ekonomi negara begitu teruk selama ini," ujarnya.
Idris turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan dalam menunjukkan fakta sebenar kepada rakyat terutamanya dalam menyampaikan bukti ekonomi negara telah lama ditadbir dengan baik pemimpin BN.
"Kita kena tunjuk perkembangan jangka panjang, selain kejayaan, tunjukkan krisis pada 1970-an, 80-an, 90-an, 2000 dan krisis ekonomi terbaru semuanya melibatkan faktor luaran sedangkan ekonomi dalam negara tetap kukuh.
"Asasnya balik kepada pembangunan ekonomi, jika ada pertumbuhan, ada kerja dan ada duit. Dengan pembangunan lebih lima peratus setahun itulah kerajaan boleh gerakkan bermacam program untuk kesejahteraan rakyat dan kini semua itu telah diperakui dunia," jelasnya.

Tiada ulasan: