24 Jun, 2013

Let's Talk bukti tiada jurang pemisah antara sekolah, IPT

Idris Jusoh (dua dari kanan) beramah mesra dengan peserta Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu Kuala Terengganu, semalam. 
*****
KUALA TERENGGANU 22 Jun - Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri membuktikan bahawa tidak wujud jurang pemisah dalam bidang pendidikan di antara sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program itu juga menggambarkan terdapat satu sinergi yang jelas apabila Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi digabungkan menjadi Kementerian Pendidikan kerana jalinan tersebut terus wujud.
"Sebab itulah hari ini kita dapat lihat Pengarah Pendidikan negeri duduk bersama seorang Naib Canselor... duduk bersama untuk melaksanakan program Bahasa Inggeris iaitu satu program yang dialu-alukan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
"Sebab itulah juga saya turun hari ini kerana ia memberi gambaran selepas dua kementerian ini bersatu atau bercantum, lebih banyak program yang kita boleh laksanakan bersama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global yang disertai oleh 260 pelajar Tingkatan Empat dari 13 buah sekolah di sekitar daerah ini di UMT di sini hari ini.
Yang hadir sama Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo; pengasas program berkenaan yang juga Pengarah Penerbit UMT, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor; Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Hussin serta beberapa kenamaan lain.
Program yang berlangsung selama enam bulan dengan tema Memperkasakan Komunikasi Bahasa Inggeris itu turut melibatkan enam orang pensyarah bahasa Inggeris dari universiti itu yang bertindak sebagai pengendali program.
Dalam perkembangan berkaitan, Idris memberitahu, buat masa sekarang, pihaknya tidak berhasrat memperluaskan program tersebut memandangkan ia hanya salah satu daripada usaha yang dilaksanakan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
"Setiap IPT mungkin ada cara masing-masing untuk melaksanakan program ini. Apa yang kita nak lihat ialah produk.. hasilnya macam mana.
"Selain UMT, UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) juga telah menyerahkan kertas kerja kepada saya untuk melaksanakan program seperti ini di sekolah-sekolah rendah," katanya.

Tiada ulasan: