27 Jun, 2013

Sekolah Wawasan wadah perpaduan terbaik - Kementerian

Idris Jusoh 
*****
KUALA LUMPUR 26 Jun - Sekolah Wawasan merupakan platform terbaik memupuk perpaduan kaum di peringkat sekolah walaupun kewujudannya tidak diperluas buat masa ini.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Sekolah Wawasan yang diilhamkan kerajaan boleh menjadi wadah menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat kerana murid dapat menjalankan pelbagai aktiviti secara bersama.
"Dengan konsep Sekolah Wawasan, kita yakin kejayaan integrasi kaum boleh direalisasikan menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksana secara bersama," katanya menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat hari ini.
Sehingga kini hanya lima buah Sekolah Wawasan beroperasi di seluruh negara iaitu di Parit Buntar, (Perak), Alor Setar (Kedah), Tasik Permai (Pulau Pinang), Subang Jaya ( Selangor) dan Seri Manjung (Perak).
Terdahulu, beliau berkata, beberapa instrumen di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) akan diwujudkan bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri pelajar.
Antara instrumen itu, tambahnya, menjadikan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Nawawi Ahmad (Langkawi-BN), Idris berkata, kerajaan tidak berhasrat memaksa pelajar sekolah jenis kebangsaan memasuki sekolah kebangsaan.
"Apa yang sedang dilaksanakan ialah kerajaan memperkasa sekolah kebangsaan kerana ramai yang tidak tahu di situ juga ada tenaga pengajar yang boleh mengajar bahasa-bahasa berkenaan (bahasa Mandarin dan Tamil)," katanya.

Tiada ulasan: