23 Jun, 2013

UMT anjur Program Perdana Let's Talk and Let's Go Global?


Tarikh: 23/06/2013
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di bawah Penerbit UMT buat julung-julung kalinya menganjurkan Program Perdana "Let`s Talk and Let`s Go Global" Memperkasakan Komunikasi Bahasa Inggeris yang diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT. Program telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris bin Jusoh.
Program ini melibatkan 13 buah sekolah di sekitar Kuala Terengganu untuk tempoh 6 bulan. Seramai 6 orang pensyarah daripada Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) akan mengendalikan 260 orang pelajar tingkatan 4 menggunakan pelbagai medium pengajaran dan pembelajaran dalam berkomunikasi dengan kaedah yang santai dan menarik.
Dalam ucapan Menteri Pendidikan II, Dato` Seri Idris bin Jusoh berkata bahawa usaha yang dilakukan oleh UMT telah memberi peluang kepada pelajar di Terengganu untuk memperkasakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk kegunaan pelbagai urusan.
"Kita memahami bahawa, satu hari nanti jika kita ingin menjadi negara yang berpasaran global, bahasa Inggeris memainkan peranan besar kerana ia merupakan bahasa yang digunakan di seluruh dunia. Kita juga percaya bahawa pada tahun 2025 nanti, pendidikan di Malaysia akan menjadi antara pendidikan yang setara dengan yang berada di luar negara sekaligus usaha memperkasakan bahasa Inggeris ini merupakan satu langkah penting bagi agenda pendidikan di Malaysia," kata beliau ketika merasmikan program tersebut.
Objektif bagi program ini dijalankan adalah untuk memperkasakan kemahiran berkomunikasi bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah menengah. Ia juga adalah untuk melaksanakan program transformasi ilmu peringkat universiti dan sekolah serta mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat khusunya pelajar sekolah tentang kepentingan penguasaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang sememangnya menjadi bahasa perhubungan di luar negara.
"Tahun ini menjadi tahun pertama pengabungan di antara dua kementerian besar iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran yang dijadikan satu sebagai Kementerian Pendidikan. Sebagaimana nama kementerian ini, selepas ini kedua-dua kementerian dapat bergabung bersama memastikan apa yang dilakukan di peringkat sekolah akan berterusan sehingga ke peringkat universiti sekaligus memberi peluang kepada peringkat universiti untuk menolong peringkat sekolah memantapkan lagi struktur pendidikan di Malaysia ini," jelas beliau lagi ketika sidang media yang dijalankan pada hari tersebut.

Sebagai permulaan program yang dirancang oleh UMT ini hanya melibatkan pelajar sekolah di sekitar Kuala Terengganu dan jika berjaya akan dibawa ke peringkat lebih menyeluruh di seluruh Terengganu, dan program ini akan menjadi percubaan pertama UMT untuk menggunakan media sosial serta temu ramah di Terengganu.fm sebagai modus pengajaran sepanjang enam bulan program ini dilaksanakan.

Tiada ulasan: